Showing posts with label Bagaimana Merangsang Anak Solat?. Show all posts
Showing posts with label Bagaimana Merangsang Anak Solat?. Show all posts

Wednesday, September 4, 2013

Bagaimana Merangsang Anak Solat?

Assalammualaikum,
Perkongsian ilmu dari Dr. Tengku Asmadi untuk panduan semua dalam mendidik anak solat. Semoga bermanfaat.

1) Ibu bapa mesti menjadi contoh dahulu.  Mudah sahaja, ibu bapa yang bersolat pasti mampu merangsang anak-anak rajin bersolat.  Sebaliknya ibu bapa yang liat atau tidak solat maka anak-anak berkemungkinan akan mengikuti jejak langkah yang sama.  Bagi anak-anak yang kecil, iaitu usianya antara 1 hingga 6 tahun maka cukuplah kalau mereka sekadar memerhatikan kita bersolat atau ikut sama solat tetapi main-main.  Kita baru rukuk dia sudah pun sujud.  Kita belum habis lagi dia sudah pun beri salam dan bermain.  Tidak perlu bertegas atau berkeras.  Usah sampai dia rasakan solat itu satu hukuman.  Biarkan sahaja dia begitu sebab yang penting dia nampak kita bersolat.  Anak-anak lebih percaya apa yang dia lihat daripada apa yang kita cakap.  Malah 80% didikan adalah melalui tauladan bukannya melalui perkataan.  Tauladan maknanya apa yang anak kita nampak dilakukan oleh kita setiap hari.  

2)  Ajak anak-anak anak-anak berjemaah.  Usah jadikan sibuk sebagai alasan tidak mampu mendirikan solat secara berjemaah di rumah.  Kalau tidak sempat berjemaah pada waktu Subuh, boleh berjemaah di waktu Maghrib.  Apabila masuk waktu solat, hamparkan sejadah di ruangan yang sesuai, panggil semua anak-anak dan suruh mereka berwuduk.  Suruh anak lelaki yang sulong azan dan kemudian iqamat.  Lazimkan solat secara berjemaah dan anak-anak akan terbiasa dengannya.  Selepas solat, zikir dan doa, ambillah masa lima minit untuk berikan tazkirah pendek pada anak-anak tentang agamanya.

3)  Tegas dan berdisiplin.  Diriwayatkan daripada Amr bin Syu’aib, daripada ayahnya, daripada datuknya r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan). (Hadis riwayat Abu Daud).  Hadis ini menunjukkan betapa tegasnya Nabi SAW apabila berhadapan dengan masalah solat.  Sebab solat itu tiang agama.  Orang yang tidak menjaga solatnya tidak layak dijadikan imam, pemimpin dan suami.  Memukul anak seawal usia 10 tahun bukanlah bermakna menderanya.  Cukup sekadar ia tahu bahawa kita serius dalam bab solat ini.  Kegagalan ibu bapa dalam bertegas adalah punca anak-anak malas solat terutamanya apabila mereka dewasa.  Malah ramai ibu bapa yang rasa kesian nak kejutkan anak mereka yang lena tidur di waktu subuh atas alasan tidak apalah anak belum akil baligh lagi.   Kalau waktu rebung tidak dilentur tidak akan mungkin mampu dilentur ketika sudah separa buluh.

4)  Nasihatkannya dengan baik.  Apabila anak-anak tidak solat cubalah nasihakan mereka dengan cara yang baik.  Terutamanya bagi anak-anak yang sudah masuk usia remaja iaitu 15 hingga 21 tahun.  Ceritakan hukuman Allah yang menantinya apabila tidak solat.  Ceritakan ganjaran syurga dan seksa neraka.  Ceritakan kesan dan akibat yang akan menimpa mereka yang tidak solat baik balas dunia atau akhirat.  Bawakan kepadanya kisah-kisah Nabi SAW dan para sahabat tentang solat.  Sampaikan padanya bagaimana Nabi SAW pernah solat malam hingga bengkak-bengkak kakinya.  Usah berputus asa.  Nasihatlah anak-anak dengan sabar dan berterusan.  Kalau bukan kita, ibu bapanya, menasihatkan maka siapa lagi?

5)  Doakan anak.   Banyakkanlah berdoa agar anak-anak lembut hati dan mendengar kata.  Buatlah solat hajar agar anak lembut hati bagi mendirikan solat.  Bacakan ayat 21 dalam surah Al-Hasrh (59) dan sapukan pada ubun-ubun anak.  
Picture
Doakan anak setiap kali kita teringat akan dia meski pun ketika itu kita sedang bekerja, memasak, memandu dan sebagainya.  Sebab ketika kita teringat akan anak maka ketika itu insya Allah dia juga teringat akan kita.  Oleh itu manfaatkan hubungan yang unik ini.  Usah merasa putus asa jika doa belum makbul sebab berputus asa dari rahmat Allah itu tanda-tanda kekufuran.  Yakinlah Allah pasti makbulkan doa kita cuma masanya sahaja yang belum tiba.

6)  Berikan masa bagi anak melakukan perubahan.  Ada ketikanya kita tidak sabar.  Sesuatu tabiat memakan masa bagi mendarah daging.  Sebab itulah mendidik anak solat perlu bermula seawal usia 7 tahun iaitu beberapa tahun sebelum anak-anak akil baligh.  Setiap kali menegur anak solat, ucapkanlah begini, "Aiman, sekarang dah pukul 6.30 petang tapi Aiman masih belum solat.  Aiman kan anak yang baik kenapa mesti begini.  Sekarang tak apalah juga Aiman baru 11 tahun.  Tahun depan Aiman dah masuk usia 12 tahun, mak tidak mahu lihat Aiman begini lagi tau.  Ok, sekarang pergi tunaikan solat Asar itu."  Ada beberapa perkara yang menarik dalam teguran ibu ini.  Pertama, dia ingatkan anaknya tentang solat.  Kedua, dia wujudkan jambatan emosi dengan mengatakan yang anaknya itu budak baik.  Ketiga, dia letakkan jangkaan bahawa anaknya mesti berubah pada usia 12 tahun.  Keempat, dia minata anaknya solat sekaran.  Ucapan sebegini membuatkan anak lebih senang berubah.  Bayangkan pada hari lahirnya 12 tahun nanti apabila kita berikan Aiman hadiah sejadah dan baju sembahyang.  Otaknya terus faham bahawa masanya untuk berubah dan menjaga solat sudah pun tiba.

7)  Bisikkan di telinganya sewaktu dia tidur.  Minda akan memproses maklumat yang disampaikan padanya berulang kali dalam gelombang theta.  Oleh itu, hampiri anak yang sedang tidur lalu usap kepalanya, atau tepuk-tepuk badannya sambil berulang kali menyebut, "Aiman, rajin solat yer nak."  Terus menyebut kata-kata tersebut sehingga anak memberikan respon seperti mengangguk, mengalih badan atau seumpamanya.  Kemudian, sebut beberapa kali lagi lalu tinggalkanlah anak itu.  Lakukan perkara ini setiap malam selama 1 hingga 3 minggu dan insya Allah berhasil.  Yang penting yakin dan positif.

8)  Bawa anak-anak ke surau dan masjid.  Biasakan anak-anak ke surau atau masjid bermula dari mereka masih kecil.  Anak-anak yang sudah terbiasa dengan suasana beribadah tidak akan kekok melakukannya apabila sudah akil baligh.  Tambahan pula, apabila dia ke masjid, potensi bagi dia berkawan dengan mereka yang kaki solat juga tinggi.  Kalau dia melepak maka potensi untuk dia jadi kaki rempit pula yang tinggi.  Pilihan ditangan kita sebagai ibu bapanya.  Usah nanti nasi sudah menjadi bubur barulah mahu disesalkan.  Masalahnya, orang tua pun sekarang liat ke masjid.

9)  Lakukan Rawatan Islam.  Ya betul, saya memang serius.  Lakukan rawatan Islam.  Mengikut pengalaman saya ramai anak-anak yang mals, degil, tidak solat dan tidak suka membaca al-quran disebabkan adanya gangguan syaitan dan iblis yang berbisik-bisik di kalbunya.  Tetapi bukanlah semua kes tidak solat disebabkan oleh gangguan.  Ada juga yang memang sudah jenis pemalas.  Cuma tidak salah melakukan rawatan jika semua perkara yang disarankan di atas telah pun dilakukan.

Hasil tulisan: Dr. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad.
(Hak Cipta Terpelihara 2011 @ MAP Training & Consultancy Sdn. Bhd.)
Layari:  www.tengkuasmadi.com/juzq30.html  atau  www.juzq30.com. Hubungi :  012-2324622
Url: http://www.tengkuasmadi.com/1/post/2011/08/bagaimana-merangsang-anak-solat.html

Contest We Win